BiPop
Apa Ceritanya: Tertekan soal hidup, mati
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my
2011/01/02
PERTENGAHAN Disember lalu, media massa heboh melaporkan cerita perihal juara AF8, Shahir, 22, apabila dia yang selama ini tampil dengan imej bersih, bersopan santun dan disenangi teman wartawan, dikatakan sudah mula berubah sikap sehingga syarikat pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) tidak mampu lagi mengawal dirinya yang ‘lesap’ sesuka hati tanpa sebarang khabar berita, sekali gus menyusahkan banyak pihak yang ternanti-nanti kemunculannya.
Lebih membimbangkan, Shahir tidak hadir pada acara penting yang dipersetujuinya sejak awal dengan memberikan alasan sangat klise, sakit! Dia tidak hadir pada sidang media AJL25 pada 15 Disember lalu, diikuti Konsert Astro Ria 2010 di i-City Shah Alam, Selangor, 19 Disember. AESB pula gagal memberikan sebarang alasan kukuh mengenai ‘kehilangannya’ itu apabila Shahir tidak menjawab sebarang panggilan telefon mahupun kiriman SMS daripada mereka.
Sekalipun benar Shahir sedang menderita sakit, mengapa dia terus mendiamkan diri, sekali gus meninggalkan 1,001 pertanyaan dan spekulasi mula bertebaran apabila beliau dikatakan ‘disorok’ individu tertentu. Lebih musykil, desas-desus mendakwa dirinya sedang tenat di kampung kerana terkena buatan orang atau santau!
Pihak AESB pula gagal menjejakinya sehingga terpaksa meminta pihak wartawan sendiri menghubungi beliau.
Pun begitu, Shahir akhirnya keluar dari tempat ‘persembunyiannya’ selepas dia tidak sanggup lagi membaca pelbagai kritikan pedas yang dilemparkan media massa ke atas dirinya sehingga mampu mencalarkan imej bersih beliau. Shahir memberikan alasan dia berada dalam keadaan sangat tertekan apabila perlu bertarung dengan maut apabila pemeriksaan awal kesihatan memberikan keputusan dia mungkin mengidap barah hati!
Justeru, Shahir hilang arah dan pedoman apabila memikirkan masa depan dirinya, lalu membuat keputusan pulang ke kampung untuk mencuba perubatan tradisional apabila dia dimaklumkan, kos perubatan barah hati bakal mencecah ratusan ribu ringgit! Shahir membuat keputusan tidak mahu menjawab sebarang panggilan telefon dan SMS daripada sesiapa kerana fikirannya bercelaru, tidak tahu apa yang harus diberitahu kerana khuatir kesihatan orang tuanya pula akan terganggu dengan berita sedih berkenaan.
Menerusi pertemuan bersama Shahir yang diatur AESB di Bangsar Baru, Kuala Lumpur, Isnin lalu berjaya merungkai pelbagai spekulasi yang membelenggu dirinya selama ini. Dia tenang menyusun kata menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya termasuk dakwaan dirinya menjadi mangsa ilmu hitam daripada individu yang sakit hati dengan kejayaan dan kesenangan yang dimiliki beliau.
“Suatu ketika dulu saya pernah dimasukkan ke wad kerana tekanan darah rendah dan migrain. Saya memang ada sejarah silam mengenai penyakit berkenaan. Baru-baru ini, doktor menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai ujian darah daripada pemeriksaan awal apabila saya disyaki mengidap barah hati. Ketika itu, apa yang berlegar di fikiran hanyalah persoalan hidup mati. Saya sangat tertekan dan runsing, tak tahu nak buat apa.
“Pada masa sama, saya berada dalam dilema sama ada ingin berkongsi dengan orang lain mengenai berita sedih itu atau simpan saja dalam diri. Sekiranya saya memaklumkan kepada orang luar, berita berkenaan akan sampai ke pengetahuan orang tua saya. Saya tidak mahu mengundang risiko lain kerana ayah mengidap darah tinggi. Saya tertekan dan berasa serba salah,” katanya memulakan perbualan.
Akui memang kesilapan diri
Shahir dicemuh lupa daratan apabila mengecapi populariti sehingga dia sesuka hati tidak menghadirkan diri pada sidang media AJL25 pada 15 Disember, diikuti Konsert Astro Ria 2010 di i-City Shah Alam, Selangor, 19 Disember lalu, tanpa memberikan sebarang alasan, selain terus menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan apabila komunikasi dengannya terputus sama sekali. Apa alasan Shahir dalam hal ini?
“Saya akui, itu memang kesilapan saya kerana tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan mengapa saya tidak hadir pada acara penting itu yang boleh menjejaskan periuk nasi saya. Tambahan pula saya adalah bintang ciptaan Astro. Sepanjang tempoh ‘kehilangan’ itu, saya sebenarnya sudah berada di kampung mencuba perubatan tradisional. Sudah terlintas di fikiran, mungkin ini saja masa terluang saya bersama keluarga.
“Pengamal perubatan tradisional memaklumkan pelbagai versi mengenai penyakit yang sedang saya deritai. Timbul pelbagai spekulasi, saya mungkin terkena buatan orang, sekali gus menambah kekusutan fikiran. Saya akhirnya mengambil keputusan tidak mahu menjawab sebarang panggilan telefon dan membalas kiriman SMS daripada sesiapa termasuklah daripada AESB sendiri.
“Ketika berada di kampung juga saya membaca laporan akhbar mendakwa saya sudah berubah sikap, lupa diri apabila sudah popular dan pelbagai kritikan negatif. Namun, segala-galanya berpunca apabila saya mendiamkan diri. Saya dalam dilema, nak cerita atau terus membisu. Sebaliknya apabila saya ‘menghilangkan’ diri, timbul pelbagai spekulasi di akhbar. Saya akui, itu memang kesilapan diri sendiri.
Minta maaf pada semua
“Pada kesempatan ini, saya memohon maaf kepada pihak Astro, TV3 dan semua pihak yang terbabit kerana ‘kehilangan’ saya menimbulkan kesusahan kepada mereka. Begitu juga kepada AESB dan rakan media massa, saya minta maaf banyak-banyak kerana gagal menghubungi saya, sekali gus menimbulkan kesulitan pihak berkenaan.
“Saya harap semua pihak memahami situasi yang dihadapi, bukan kehendak saya, namun saya berdepan ujian daripada Allah,” tutur Shahir dalam nada sedih.
Difahamkan, pihak produksi TV3 sudah bersedia menggugurkan Shahir daripada menyertai AJL25 sekiranya dia terus menghilangkan diri dan menggantikan tempatnya dengan penyanyi lain, namun selepas dia berbincang dengan AESB dan mengakui kesilapannya, beliau sedia meneruskan cabaran pada acara berprestij itu selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada doktor, selain memikirkan sokongan peminat terhadapnya selama ini, Shahir sedia menggalas tanggung jawab berkenaan.
Selepas bertemu dengan pihak pengurusan dan menjalani pemeriksaan susulan daripada hospital pakar, Shahir disahkan tidak mengidap barah hati, sebaliknya berdepan penyakit silamnya, tekanan darah rendah dan migrain yang masih dalam pemantauan doktor kerana kandungan asid berlebihan dalam hati masih menjadi tanda tanya. Simptom yang dihadapinya ialah cepat letih dan apabila memandu kadang-kadang pitam. Justeru, atas faktor keselamatan, Shahir tidak lagi memandu, sebaliknya meminta pertolongan kawan karibnya.
‘Kritikan sedarkan saya’
Menjawab tuduhan dia sewenang-wenangnya membatalkan sesi fotografi bersama majalah hiburan popular dengan mengirimkan SMS kepada pihak AESB pada saat akhir memaklumkan dirinya tidak sihat, sebaliknya beliau dilihat melepak bersama temannya di Sunway sehingga jam 3 pagi sebelum fotografi, Shahir sedia menceritakan kekeliruan yang berlaku.
“Memang saya akui membatalkan fotografi berkenaan dan memaklumkan kepada pihak pengurusan, saya tidak sihat dan tidak mampu meneruskan fotografi pada keesokan harinya. Benar, saya ada bertemu rakan di Sunway, malam sebelum fotografi untuk berkongsi derita penyakit dan tekanan yang sedang saya tanggung, namun bukannya melepak atau berfoya-foya sehingga lewat pagi seperti didakwa,” jelasnya lagi.
Shahir juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia tidak akan menjayakan sebarang publisiti mahupun fotografi tanpa bayaran!
“Bagi saya, rakan wartawan banyak membantu menaikkan nama saya, justeru dakwaan seumpama itu (minta bayaran) memang tak pernah berlaku. Sekali lagi saya minta maaf kepada pihak media yang salah faham atas situasi ini. Namun, saya ucapkan terima kasih kepada media massa yang melemparkan kritikan sepanjang tempoh ‘kehilangan’ saya kerana sekurang-kurangnya saya sedar, mereka ambil berat mengenai diri saya.
“Saya masih Shahir yang dulu. Saya sekadar menghilangkan diri sekejap apabila dikejutkan dengan berita barah hati itu dan kini segala-galanya sudah kembali normal atas keprihatinan AESB yang sentiasa mengambil berat dan memantau tahap kesihatan saya dari semasa ke semasa. Apa yang saya harapkan, penyakit sedang saya deritai ini tidak mengganggu perjalanan seni saya, saya adalah harapan keluarga,” katanya lagi.
p/s : Harap Shahir tak ulangi lagi...dan dapat beraksi di AJL nanti.